Pemakaian aksesori tambahan merupakan perkara yang sangat sinonim dipadankan ketika mengenakan kebaya. Seperti yang diketahui ramai, baju kebaya merupakan baju tradisional Melayu. Jadi aksesori yang sesuai dipadankan juga mestilah aksesori yang mempunyai unsur klasik dan tradisional. Antaranya ialah:
1. Dokoh
Dokoh ialah salah satu aksesori tradisional wanita yang dipakai di leher dan mempunyai tiga atau lebih plat yang diperbuat daripada timah, tembaga atau logam. Kebiasaanya dokoh ini dipakai oleh pengantin pada masa dahulu, namun kini penggunaanya tidak lagi terhad dan boleh dipakai oleh semua. Terdapat juga wanita yang memadankan dokoh bersama baju kurung.


2. Pending
Pending ialah perhiasan seperti tali pinggang yang dipakai oleh pengantin perempuan pada bahagian luar baju. Ia diperbuat daripada logam seperti emas atau tembaga. Namun pada masa kini pending tidak lagi mendapat perhatian daripada golongan orang muda kerana bentuknya yang agak besar dan coraknya yang klasik dan tidak menarik perhatian mereka.

3. Cucuk Sanggul
Cucuk sanggul ini biasanya dipakai oleh kaum wanita yang tidak bertudung supaya rambut mereka yang panjang dan lebat didandan dengan kemas. Fungsinya ialah untuk menyemat dan menahan sanggul supaya tidak terburai. Ia diperbuat daripada emas atau perak, cucuk sanggul ini biasanya dipakai dalam set tiga atau lima.
 |